SRI As-Sakinah Dinobatkan Sekolah Agama Swasta Cemerlang Negeri Selangor 2017

Shah Alam, 15 Mei 2018 – Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor Tahun 2018 telah dilaksanakan di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Hampir 1000 guru seluruh Negeri Selangor telah hadir bagi menyambut hari guru tersebut.

Sambutan ini memberi penghargaan kepada penerima Anugerah Sekolah Cemerlang 2017, Anugerah Hari Guru 2018 dan Anugerah Tokoh Hari Guru 2018.

Tahun ini JAIS berbesar hati memberi Anugerah Sekolah Agama Swasta Cemerlang 2017 kepada Sekolah Rendah Islam As-Sakinah Subang Bestari atas komitmen dan hasil kualiti yang telah ditonjolkan.

Semua pimpinan guru di sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disarankan supaya sentiasa menonjolkan diri dalam masyarakat dan di tempat bertugas.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, hubungan baik dan akrab perlu dibina dan diperkukuh melalui rantaian manusia yang menjadi penghubung antara sekolah dan masyarakat.

Katanya, Persatuan ibu bapa dan Guru (PIBG) juga menjadi salah satu komponen masyarakat yang harus diurus dengan baik oleh Eksekutif Officio (Penasihat) iaitu pengetua dan guru besar.

“Saya penuh yakin hubungan baik dibina antara sekolah dan PIBG ini merupakan salah satu faktor kewujudan warga sekolah cemerlang.

“Bahagian Pendidikan Islam JAIS juga menyarankan agar semua peringkat sekolah dan daerah dapat melakukan aktiviti sesuai.

“Ia termasuk mengadakan program ziarah kepada mantan guru, ziarah guru yang sakit, program bersama masjid dan surau atau apa sahaja program yang boleh memberi makna penghargaan kepada golongan guru, murid dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Guru JAIS peringkat negeri di Hotel De Palma, di sini.

Mohd Haris berkata saranan itu merupakan salah satu bentuk transformasi dan revolusi terkandung dalam tema hari guru, ‘Guru Pemacu Transformasi Negara’.

“Ini kerana kita perlu melakukan perubahan terhadap sifat, tingkahlaku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya kepada sesuatu lebih baik dan sempurna.

“Pada masa sama murid-murid dan masyarakat dapat menyedari wujudnya golongan manusia bergelar guru ini yang jasa mereka tidak pernah dilupakan.

“Diharap semua guru JAIS dalam semua kategori yang berjumlah hampir 10,000 orang buat masa ini akan menjadi ‘pemacu’ kepada Pendidikan Islam di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Bahagian Pendidikan Islam JAIS yang berjaya mewujudkan Buku Garis Panduan Pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru tahun 2018.

Rujukan:

1). Facebook Page: Jabatan Agama Islam Selangor.  URL: https://www.facebook.com/JabatanAgamaIslamSelangor/posts/majlis-sambutan-hari-guru-jabatan-agama-islam-selangor-tahun-2018-telah-dilaksan/1717906998296775/

2). Mohd Ezli Mashut, Norhayati Umor (15 Mei 2018) Selangorkini.my. Berita bertajuk: Guru JAIS disaran tonjolkan diri, hadapi revolusi. URL: https://selangorkini.my/2018/05/guru-jais-disaran-tonjolkan-diri-hadapi-revolusi/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *